Sifat Amanah

الحمد لله الذي هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لولا أن هدانا الله. أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله اللهم فصل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد ابن عبد الله، وعلى آله ومن تبعهم بإحسان إلى يوم القيامة. أما بعد: فيا عباد الله! اتقوا االله حق تقاته واعلموا أن الله مع المتقين.

فقد قال الله تبارك وتعالى فى كلامه العظيم, بعد أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم،

يأيها الذين ءامنوا لا تخونوا الله والرسول وتخونوا أماناتكم وأنتم تعلمون.

صدق الله العلي العظيم.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebelum mimbar Jumaat mengupas tajuk khutbah pada hari ini, dengan sukacitanya saya mengingatkan diri saya sendiri dan hadirin sekalian agar sama-sama meningkatkan ketaqawaan kita terhadap Allah S.W.T. dengan menyempurnakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya berpandukan cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita junjungan mulia Muhammad S.A.W. agar kita berjaya di dunia dan akhirat InsyaAllah.

Mimbar Jumaat pada hari ini akan menghuraikan tajuk yang amat penting dalam masyarakat Islam iaitu: Sifat Amanah.

Saudara!

Di antara sifat-sifat terpuji yang wajib dimiliki oleh setiap peribadi muslim ialah sifat amanah. Sifat amanah merupakan salah satu daripada sifat-sifat Rasulullah S.A.W. Ianya sangat tinggi nilainya di sisi syariat Islam sehingga dianggap sebagai tidak beriman bagi orang yang tidak amanah. Tidak amanah juga menjadi satu tanda bagi orang munafik.

Tersebut di dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Musim, maksudnya:

“Tanda orang munafiq tiga perkara: bila berkata-kata ia berdusta, bia berjanji ia mungkir, dan bila diberi amanah ia mengkhianatinya. Imam Muslim menambah, walaupun ia bersembahyang, berpuasa dan ia telah mengakui dirinya orang Islam.”

Melaksanakan amanah merupakan kerja yang sangat berat dipikul kerana amanah merupakan tanggung jawab yang akan disoal di hadapan Allah S.W.T. di padang Mahsyar kelak. Oeh kerana itulah, apabila Allah S.W.T. menawarkan amanah ini kepada makhluk-makhukNya untuk dilaksanakan, maka semua menolak dalam keadaan takut, gerun dan bimbang apakah ia dapat dilaksanakan ataupun tidak.

Allah S.W.T. berfiman:

إنا عرضنا الأمانة على السموات والأرض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها وحملها الإنسان

إنه كان ظلوماً جهولاً.

Maksudnya: Sesungguhnya kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung. Tetapi semuanya enggan memikul amanah itu dan mereka takut (kerana khuatir tidak dapat melaksanakannya) lalu dipikullah amanah itu oleh manusia, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan jahil.

Apabila disebut amanah maka jangan disangka ia hanya merupakan barang-barang berharga yang diamanahkan untuk disimpan atau disampaikan kepada tuannya. Amanah sebenarnya merupakan hak-hak Allah, hak-hak diri sendiri, dan hak manusia atau makhluk Allah yang wajib ditunaikan; beriman kepada Allah serta RasulNya dan mentaati semua ajarannya adalah amanah, amar ma’ruf nahi mungkar adalah amanah, mengajak manusia mendirikan agama Allah dan syariatNya adalah amanah, mendidik anak-anak dan memelihara anak-anak yatim adalah amanah, menyampaikan ilmu dan berita-berita yang benar adalah amanah. Sembahyang, puasa, zakat, haji, menyempurnakan timbangan dan sukatan, menunaikan janji dan sebagainya adalah amanah. Mejaga hubungan sesama manusia, dan menunaikan hak-hak mereka adalah amanah. Saya ulang sekali lagi, menjaga hubungan sesama manusia dan silaturrahim juga adalah amanah. Oleh itu, setiap peribadi muslim wajib menunaikan hak-hak Allah, hak-hak Rasulullah S.A.W., hak-hak diri sendiri, hak-hak dua ibu bapa, hak-hak suami isteri, hak keluarga, hak jiran tetangga dan masyarakat setempat, hak majikan, hak ketua dan pemerintah, seterusnya hak rakyat dan masyarakat umum. Pendek kata, amanah itu ialah setiap perkara yang diserahkan kepada manusia untuk dijaga dan dipelihara, sama ada berupa harta-benda, amalan atau rahsia.

Sidang Jumaat sekalian,

Kekuasaan atau pangkat yang diperolehi oleh seseorang dengan cara yang benar adalah amanah yang besar yang dipertanggung jawabkan ke atasnya. Oleh itu, ia wajib ditunaikan dengan ikhlas, jujur dan sebaik-baiknya. Salah guna kuasa adalah satu pencabulan terhadap amanah Allah S.W.T.

Tersebut dalam hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad, Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “barangsiapa di antara kamu yang aku lantik sebagai pegawai lalu ia menyembunyikan daripada kami seperti jarum atau lebih (yakni rahsia yang jahat), maka itulah satu pengkhianatan yang ia akan membawanya pada hari kiamat kelak”. Dalam hadis Riwayat Muslim: “Seorang pemerintah yang ditugaskan menjaga (kebajikan) rakyat tiba-tiba ia mati dalam keadaan menipu rakyatnya maka haram bau syurga ke atasnya.”

Ikhwanial muslimin,

Memilih pemimpin yang berkelayakan adalah amanah yang wajib ditunaikan oleh rakyat. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang melantik seseorang untuk memimpin sesuatu jemaah sedangkan masih ada dari kalangan jemaah itu orang yang lebih layak daripadanya, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin.”

Justeru, golongan yang layak untuk menjadi pemimpin kita tentunya ialah golongan ulama’. Orang yang ‘alim dalam syariat Islam, orang yang rapat hubungannya dengan Allah, baik akhlaknya, luhur budi pekertinya. Barulah kita tidak mudah terpesong dari ajaran Junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Marilah kita menjaga diri, keluarga, dan masyarakat kita agar kita sentiasa menjadi mukmin yang ikhlas, beramanah, dan beristiqamah dalam beragama serta membela maruah Islam di persada dunia.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم من جآء بالحسنة فله عشر أمثالها ومن جاء بالسيئة

فلا يجزى إلا مثلها وهم لا يظلمون. صدق الله العظيم.

بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات، والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه! فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين. ©

Disediakan oleh:

[ qumfaanzir ]

®Uwais Al Qorny b. Ab. Latiff©

Maahad Al Manar,

Pasir Puteh, Kelantan.

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati