Dalam kekalutan ana menyusun jadual bagi menyediakan perkhidmatan perawatan di sini, ana sempat menyertai Kuliah yang disampaikan oleh Dato' Hj Shamsuri bin Hj Ahmad penceramah bebas yang terkenal di seelah utara Malaysia. Tapi malangnya ana terlupa untuk membawa kamera compact ana untuk merakamkan suasana yang pastikan mengujakan anda apabila melihatnya. Suasana yang sungguh meriah ini boleh lah kita gambarkan seumpama Kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu berhampiran Pejabat PAS, Kota Bharu yang disampaikan oleh YAB Tok Guru kita. Gerai-gerai jualan penuh di perkarangan masjid Sultanah Bahiyah ini bagi mempromosi produk mereka. Apa uang lebih menari lagi ialah kuliah ini disiarkan secara langsung melaui internet. Walau bagaimanapun ana kurang pasti portal apakah yang mereka gunakan bagi menyiarkan kuliah online tersebut.

Kuliah pada kali ini, Dato' menceritakan berkenaan dengan peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku sebalum hari kiamat. Beberapa bahagian yang menjadi tarikan ana untuk mencatatnya adalah kisah dajjal yang akan membuat huru hara di atas muka bumi ini sebelum menjelangnya kiamat. Kisahnya bermula begini:...

Rasulullah S.A.W. bersabda, jika kalian bertemu dengan dajjal maka bacalah 10 ayat awal Surah Al-Kahfi. Para sahabat bertanyakan baginda tentang perawakan Dajjal. Lantas Rasulullah S.A.W. menerangkan bahawa dajjal itu muda remaja orangnya, berambut kerinting, dan matanya buta sebelah. Dia akan muncul di antara Syam (Syria) dan Iraq. Dajjal diistilahkan oleh dato' sebagai 'terminator' lantaran sifatnya yang memusnahkan segala mata benda pada zaman itu. Yang paling menakutkakn adalah dia akan memusnahkan aqidah orang mukmin yang goyah imannya. Dajjal terkenal dengan tipudaya yang sangat mengelirukan.

1 kisah yang telah diceritakan oleh Imam Al-Bukhari dari hadis ayang agak panjang dalam sohih nya bahawa dajjal itu mempamerkan saktinya tatkala dia menunjuk ke langit maka turunlah hujan. Apabila dia mejunjuk ke bumi maka tumbuhlah segala pokok melata dengan segarnya, dan yang lebih ajaib tatkala seorang kanak-kanak dipanggil dan dibelahnya akan budak tersebut lantas terbelah dua, dan kemudiannya dilemparkan sejauh mata memandang separuh badan ke timur dan separuh lagi ke barat, dan kemudian apabila dipanggil budak itu datang dalam keadaan ketawa berdekah-dekah seperti sediakala. Pada ketika itu Dajjal dengan angkuhnya bertanya kepada manusia yang sudah mula bercelaru dan tergugat imannya, Ada benarkah aku ini TUHAN? Mereka yang masih lagi kukuh dan teguh imannya dengan berani menempelak Dajjal dengan keras, Jikalau kamu ini TUHAN, mengapa kamu tidak memperelokkan rupa parasmu yang hodoh itu sebelum kamu mempertunjukkan kebolehan kamu di khalayak ramai? Tatkala selesai sahaja mukmin itu berkata-kata, lantas Dajjal pergi meninggalkan wilayah itu dan datanglah bala bencana yang maha dahsyat lantaran keingkaran masyarakat wilayah tersebut terhadap dakyah Dajjal laknatullah. Maka datanglah kemarau yang panjang, tanah berubah menjadi tandus dan kering kontang, sehingga setitis air pun pada ketika itu amat mahal harganya sehingga mereka sanggup berbunuh-bunuhan demi hanya untuk mendapatkannya.

Diriwayatkan lagi dalam hadis sohih oleh Imam Muslim bahawa Nabi S.A.W. bersabda bahawa dajjal akan membuah laknat di atas muka bumi ini selama 40 hari. Di mana 1 hari daripadanya adalah seumpama lamanya setahun, ada 1 hari seumpama lamanya sebulan, dan ada 1 hari seumpama lamanya seminggu. Dan boleh pergi ke mana sahaja yang dia kehendaki kecuali Mekah dan Madinah.

Tatkala selesai tempoh 40 hari tersebut, maka 'bangkit'lah Nabi Isa a.s. dari timur Damsyik. Diceritakan lagi bahawa bau nafas Nabi Isa a.s. adalah sejauh mata memandang. Orang kafir pada ketika itu akan mati serta merta tatkala tercium bau nafas Nabi Isa a.s. Baginda lantas mengembara sambil berdakwah untuk mencari di manakah gerangan Sang Dajjal untuk membunuhnya. Akhirnya Dajjal dibunuh oleh Isa a.s. berhampiran dengan Baitul Maqdis. Tatkala terbunuhnya Dajjal laknatullah, lantas Isa a.s. membawa orang-orang beriman pada ketika itu ke satu tempat tanah tinggi lantaran 2 jenis makhluk yang tidak mungkin terlawan oleh makhluk lainnya yang bakal muncul tidak lama lagi iaitu Yakjuj dan Makjuj. Mereka datang dari tempat-tempat yang tinggi seperti firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Anbiya' ayat 96 :

حتى إذا فتحت يأجوج ومأجوج وهم من كل حدب ينسلون
Hingga apabila dibukakan (tembok) Ya'juj dan Ma'juj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.


Diriwayatkan bahawa 2 jenis makhluk ini amatlah ramai jumlahnya. Makhluk ini memakan batang tubuh manusia yang pada ketika itu tidak sempat untuk berkejaran ke tempat tinggi bersama Nabi Isa a.s. Di dalam riwayat yang lain mengatakan bahawa mereka memakan iman yang bertapak dalam pegangan orang beriman pada ketika itu. Manakala mereka yang berada di atas tempat tinggi sudah pun mula kebuluran lantaran ketiadaan makanan. Untuk turun ke bawah, tidak sekali-kali kerana Yakjuj dan Makjuj bakal memusnahkan mereka. Sehinggalah pada satu saat Nabi Isa menadah tangan ke langit memohon bantuan dari Yang Maha Esa, lantas Allah S.W.T. telah menurunkan sejenis penyakit hidung (barangkali selesema) lantas memusnahkan seluruh komuniti Yakjuj dan Makjuj sehingga mereka mati bergelimpangan. Tatkala itu, Nabi Isa dan pengikutnya turun ke kaki bukit untuk pergi mencari makanan timbul 1 lagi masalah apabila menyusahkan mereka untuk berjalan lantaran bangkai-bangkai Yakjuj dan Makjuj bergelimpangan bertindan-tindan. Sekali lagi Nabi Isa a.s. berdoa kepada Allah S.W.T. untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tidak lama kemudian Allah mendatangkan sejenis burung yang besar memungut bangkai-bangkai Yakjuj dan Makjuj lantas membersihkan muka bumi dari bangkai-bangkai tersebut. Setelah selesai, 1 lagi masalah timbul apabila bau busuk dan darah dan nanah penuh berlendir di bumi. Tatkala ini sekali Nabi Isa a.s. mengangkat tangan menadah ke langit dan berdoa agar Allah menyelesaiakan masalah tersebut. Lantas Allah menurunkan hujan yang sangat lebat untuk membersihkan keadaan muka bumi pada ketika itu. Barulah keadaan kembali menjadi tenang dan membolehkan Nabi Isa a.s dan pengikutnya bergerak mencari makanan. Di dalam ketenangan yang menyamankan, Allah S.W.T. telah menghantar sejenis angin yang nyaman menyelinap di celah-celah ketiak orang-orang beriman dan lantas mematikannya sehinggalah tidak ada lagi orang yang beriman pada ketika itu. Maka benarlah janji Allah S.W.T. yang akan mengkiamatkan dunia ini pada ketika itu.

Justeru, kita sebagai umat akhir zaman, harus bersedia dengan segala peristiwa yang bakal berlaku seperti yang telah diceritakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. di dalam hadisnya yang sahih. Kita juga mesti beriman dengan hadisnya yang mulia melambangkan kita sebagai mukmin yang bertaqwa kepada Penciptanya.

اللهم إنا نعوذ بك من فتنة النساء ونعوذ بك من فتنة المحيا والممات
ونعوذ بك من فتنة المسيح الدجال


These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati